Melukis/cat Wajah anak-anak di parti


Berkaitan dengan hal ini ialah hukum tasyabbuh/menyerupai haiwan. Ilmuan Islam telah menggariskan satu prinsip umum bahawa meniru bentuk atau perlakuan haiwan adalah makruh, bahkan boleh menjadi haram.
Mereka berhujah bahawa dalam al-Quran dan al-Hadis, jika kita menemui perbandingan antara haiwan dan manusia, ia sering membawa maksud penghinaan.
Contohnya, Allah berfirman:

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. [al-A’raf: 176]

(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. [al-Jum’ah: 5]
Kita boleh melihat bagaimana Rasulullah saw bermain-main dengan cucu-cucunya dengan berpura-pura menjadi kuda atau untuk tunggangan. Baginda membenarkan cucunya, al-Hasan dan al-Husain untuk menunggang di belakangnya. 
Kemudian baginda bersabda kepada mereka: 
Hebat sungguh kuda yang kalian miliki. [Mu’jam al-Thabrani dengan sanad yang hasan]
Dalam riwayat yang lain, baginda dikatakan bersabda kepada cucunya: Betapa hebatnya unta yang kalian miliki, dan betapa baiknya kalian.
Ini menunjukkan bahawa meniru haiwan tidak terlarang di dalam semua keadaan. Konteks kejadian di atas ialah di mana seseorang bermain dengan anak-anaknya. Adalah sesuatu yang normal untuk seorang ayah bermain-main dengan anaknya di rumah, dan ia adalah sesuatu yang diterima di dalam masyarakat.
Maka, hal yang sama diambil kira dalam isu mengecat wajah anak-anak ketika parti. Ia adalah merupakan satu hiburan untuk anak-anak ketika hari-hari istimewa tersebut. Ia tidak menyebabkan rasa malu atau merendahkan maruah anak-anak itu.
Oleh kerana itu, melukis/cat wajah anak-anak di parti atau lain-lain keramaian adalah selari dengan tingkah laku Rasulullah bersama anak-anaknya. Ia dibenarkan.
Wallahua’lam.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »