Dari Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Daripada perkara fitrah ialah mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan menggunting misai”.
(HR al-Bukhari)
Fitrah adalah bermaksud apa yang dicenderungi oleh tabiat kejadian manusia yang sejahtera. Islam adalah agama yang fitrah dan ajarannya menepati fitrah kejadian manusia. Fitrah manusia suka kepada kebersihan dan kesucian. Justeru itu, amat bertepatanlah pensyariatan mencukur bulu ari-ari ini.
Dalam hadis selain menggunakan lafaz halq al-anah (cukur bulu ari-ari), Nabi s,.a.w juga menyebut dengan nama al-Istihdad. (al-Bukhari dan Muslim)
Al-Nawawi berkata :
“al-Istihdad ialah halq al-anah (cukur bulu ari-ari). Dinamakan al-istihdad kerana caranya dengan menggunakan al-hadid (asal maksud besi ; dikehendaki di sini ialah pisau cukur)".
Perbuatan ini adalah sunnah, dan maqasid atau tujuannya adalah untuk kebersihan manusia itu sendiri. Ini dapat difahami dari segi logik akal fikiran manusia. Sudah semestinya Islam amat menitik beratkan kebersihan. Ini disokong oleh banyak dalil-dalil umum yang lain seperti hadis Muslim (Bersuci itu separuh daripada iman) dan begitu juga ayat-ayat pujian tentang orang yang suka kepada kebersihan.